"Mati itu pasti. Dia tahu.
Waktu sampai ajal tiada toleransi. Dia tahu.
Ajal tak kenal usia di bumi. Dia tahu.
Larilah ke ceruk bumi mana sekalipun, maut itu pasti akan datang tanpa kompromi. Dia tahu.
Sama ada ditunggu atau tidak, datangnya sebagai sebuah janji. Dia tahu.
Bayang maut itu boleh datang dengan merangkak, atau boleh datang dengan laju sekilas kilat besi. dia tahu.
Tapi untuk akal dan hati menerima, bukan semudah itu.
Sekelip mata. "
( Hlovate, 2011, pp. 257-258)
Reference:
Hlovate, 2011. Contengan Jalanan. Selangor: Jemari Seni Sdn. Bhd
Bila, di mana dan bagaimana. Segalanya telah tertulis di Loh Mahfuz. Begitu ketetapan yang telah ditakdirkan. Bagi kita yang masih lagi diberi peluang untuk menghirup udara segar di muka bumi ini, bagi kita yang masih lagi dipinjamkan kudrat untuk berlegar-legar di muka bumi ini, ingatlah dan percayalah, ajal dan maut itu di tangan Tuhan. Andai waktu sudah memanggil, mana mungkin lagi kita dapat menafikan. Mana mungkin kita dapat menidakkan.
"Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan."(Al-Anbiyaa: 35)
Apa yang telah terjadi ini adalah satu peringatan dari Allah jua agar kita tidak lalai, tidak leka akan apa sebenarnya tujuan kita dihidupkan di muka bumi ini. Seringkali kita alpa dan seringkali jua kita bertanya apa erti hidup sedangkan telah jelas dikalamkan semuanya di dalam Al-Quran oleh Allah SWT dalam Surah Adz-Dzariyaat, ayat 56 yang membawa maksud:
"Dan (ingatlah) sesungguhnya Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaku."
Mengalir air mata mengenangkan apa yang telah terjadi. Walau mereka bukan ahli keluarga atau saudara mara terdekat, tapi kami semua dihubungkan sebagai saudara satu agama, saudara Islam. Pada kalian yang terlebih dahulu menghadap Illahi, ternyata Allah lebih menyayangimu dan semoga dipermudahkan urusan kalian di dunia sana dan diampunkan segala dosa oleh-Nya serta ditempatkan bersama dengan orang-orang yang soleh. Amin Ya Rabb.
Bagi mereka yang telah ditinggalkan, redhalah wahai saudaraku! Berterusanlah kita menyayanginya dengan doa-doa yang tak pernah putus untuk mereka. Laksanakan tanggungjawabnya yang tertinggal agar dapat meneruskan perjuangan sebagai khalifah Tuhan di muka bumi ini, insya-Allah.
Dan telah diriwayatkan dalam hadis Qudsi oleh Sahih Bukhari, Rasulullah SAW pernah bersabda:
"Tidak ada balasan bagi hambaKu yang mukmin, jika Aku ambil kekasihnya dari ahli dunia kemudian ia sabar dan redha, melainkan syurga baginya"
Dan bagi aku yang masih di sini, doaku takkan putus andai tibanya waktu untuk aku menghadap-Mu Ya Allah, aku memohon agar Engkau berikan aku khusnul khotimah dan izinkan aku Ya Allah untuk menghadap-Mu dengan seteguh-teguh iman dan setinggi-tinggi ketakwaan ya Allah. Amin Amin Ya Rabbal Alamin.
**********
Post kali ini sebagai tribute for the shocking news for the nation. Selepas tragedi bas di Kota Kinabalu, Sabah tahun lepas, Brunei lagi sekali digegarkan dengan tragedi ini. Telah tersurat ianya berlaku pada malam awal bulan Ramadan (hari Jumaat, 20 Julai 2012) menambahkan lagi kepiluan hati rakyat Brunei. Ternyata berkali-kali sudah kita diingatkan oleh-Nya. Ya Allah!
Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah buat mereka yang telah meninggalkan kita. Berdoalah agar pemergian mereka ini sebagai pemergian syahid kerana berjuang untuk mempertahankan negara. Amin Amin Ya Rabb.
='(